Kau Pergi Jua

Kau Pergi Jua Wajah mu Seindah serinya pelangi nan indah Seharum mawar suci mekar berkembang Wajah mu Mengapa sering terbayang dimataku Sehingga terbawa didalam mimpiku Sayang ku Tahukah kau didalam hatiku ini Tersimpan perasaan cinta yang murni Kau bunga Ingin kusunting mu menjadi milikku Lantas kuabadikan dalam jiwaku Sayangnya Harapan yang selama ini ku bawa Hancur berkecai musnah jua akhirnya Semuanya bagaikan sebuah mimpi Kau pergi jua Setelah cintaku kini membara Belum sempat kucurahkan kasihku Kau pergi tak kembali Sayangku Tahukah kau didalam hatiku ini Tersimpan perasaan cinta yang murni Kau bunga Inginku suntingmu menjadi milikku Lantas kuabadikan dalam jiwaku (Adam Ahmad) (Dayang Norfaizah)
Bila saya dengarkan lagu diatas tak semena bergenang air mata nih. Ianya amat menyentuh hati saya. Setiap hari saya akan mendengar dan menyanyikan lagu ini. Memori bersama ayah sebati di dalam kotak memori saya. Kisah dibawah adalah berkisarkan tentang perginya seorang ayah menemui ILLAHI dan ianya terjadi didalam hidup saya ketika saya amat memerlukan sokongan seorang ayah... ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Ayah...adik sayangkan ayah...kenapa ayah pergi dulu... “Pergilah sekolah dik, dah lama tak pegi sekolah, tak lama lagi nak SRP” lemah ayah memujuk aku kesekolah sambil memandang sayu kepada aku. “Tak naklah yah, adik nak duduk dengan ayah, kalau ayah tak balik rumah adik tak nak sekolah”getus ku sambil melayangkan pandanganku keluar tingkap rumah Mak Lang di kampong. Aku tersenyum sambil memandang ayah yang terbaring. Ayah mula sakit selepas abang sulung aku berkahwin. Katanya demam, sejuk tapi berpeluh-peluh. Kepalanya rasa macam nak pecah. Pergi ke Klinik katanya mungkin Demam Denggi. Entah lah aku pun tidak tahu apa yang doktor periksa pada ayahku, yang aku tahu ayah cakap dia kena Demam Denggi. Tapi kenapa berlarutan tidak kebah-kebah. Seminggu ayah demam emak kata nak bawa ayah balik kampung ke rumah Mak Lang. Berubat cara kampung. Ayah terpaksa akur dan lebih-lebih lagi aku. Aku ponteng sekolah janji aku dapat bersama ayah. Aku memang manja dengan ayah. Ayahlah segalanya bagi aku. Manja aku berlebihan limpah ruahnya. Aku tahu ayah amat menyayangi aku kerana segala kehendakku diturutinya. Tidak kira tengah malam jika aku meminta makanan pasti ayah akan berusaha mencarinya sehingga dapat. Emak aku selalalu marah akan perangai aku. Tapi ayah akan berpihak pada aku. ”Anak nak makan jangan disekat nanti bila dah sakit barulah sibuk suruh makan itu ini”emak hanya diam sahaja. Seingat-ingat aku Ayah tidak pernah menghampakan segala permintaan anak-anaknya lebih-lebih lagi bab-bab makanan. Kata Ayah, dia tidak mahu anak-anaknya menjadi sepertinya semasa zaman persekolahan. Terpaksa mencari duit sendiri untuk belanja sekolah dengan menjaga basikal di Stadium Negara bila ada perlawanan bola sepak atau apa-apa keraian. Baju dan kasut sekolah tidak pernah berganti. Pergi kesekolah pun berjalan kaki bayangkan dari Kampung Baru berjalan kaki ke Sekolah Victoria Institution. Begitulah kehidupan ayah semasa persekolahannya. Tapi ayah redha. Lama kami dikampung, suatu hari abang ipar ayah (Pak Long) datang ke kampung menziarah ayah dan berbincang dengan emak, abang dan pak lang serta mak lang aku untuk membawa ayah ke Hospital Assunta, Petaling Jaya kerana dekat dengan rumahnya untuk membuat rawatan rapi di situ. Emak dan ayah terpaksa akur dan bermulalah terapi ayah yang senantiasa ditemankan oleh emak di Hospital Assunta. Di sana aku tidak dapat bersama ayah kerana aku terpaksa pulang ke rumah untuk menyambung sekolah yang lebih dari dua minggu aku ponteng. Aku duduk bersama abang serta kakak ipar aku yang baru. Boringnya aku rasa. Hidup aku kosong. Sentiasa aku ingatkan ayah. Bagaimana keadaan ayah?. Tapi aku yakin ayah akan sembuh. Aku kesekolah macam biasa, hanya tinggal satu bulan SRP bakal tiba. Aku hanya ala kadar sahaja membuat persiapan. Cikgu sejarah aku memperkecilkan diri aku dengan mengatakan aku akan lingkup dalam matapelajaran sejarah kerana aku sudah banyak tertinggal pelajaran. Aku hanya diam sahaja. Malas aku nak layan Si Bongkok dari Gua Hantu tu. Itulah gelaran aku pada cikgu sejarah aku. Sombong bukan main lagaknya. SRP makin hampir tapi aku makin teruk ekoran ayah tiada disisi. Emak pun tidak ada dirumah kerana menjaga sepenuh waktu ayah di Hospital Assunta. Hospital Assunta adalah rumah kedua emak. Aku faham perasaan emak, bagaimana keadaannya tapi emak sabar dan kuat menghadapinya. Mujurlah sanak saudara serta anak-anak buah ayah dan emak sudi membantu menjaga ayah bila malam. Mereka akan bergilir-gilir menjaga ayah hingga kepagi. Jururawat-jururawat di situ semuanya menyenangi ayah dan mereka senang berurusan dengan ayah yang tidak cerewet. Mereka akan mandikan ayah dan bedakkan ayah. Alhamdulillah ayah tidak banyak kerenah. Tapi apa yang jadi pada aku...aku kehilangan punca tanpa ayah disisi...dunia aku kosong, sifar...tak siapa yag faham perasaan aku... Suatu pagi aku dikejutkan oleh abang mengatakan ayah akan dipindahkan ke Hospital Universiti setelah hampir dua minggu di Hospital Assunta. Abang kata ayah kena buat rawatan rapi kerana di Hospital Assunta tidak lengkap untuk membuat terapi ke atas ayah. Abang cakap ayah sihat. Tapi kalau sihat kenapa ayah dipindahkan. SRP aku makin hampir tapi aku makin leka melayan perasaan aku. Aku masih yakin ayah akan dapat diselamatkan. Kasihan emak. Aku dengar cerita dari abang, pemeriksaan sudah dijalankan pada ayah dan keputusannya ayah menghidapi Leukimia. Darah putih ayah melebihi darah merah. Tapi pihak hospital kata ubat Leukimia ada dan akan di berikan pada ayah dan kemungkinan peluang untuk membendung Leukimia itu akan berjaya. Alangkah senangnya hati aku mendengarnya. Tapi bila ubat itu dimasukkan kedalam badan pesakit, simton-simton seperti keguguran rambut, badan menjadi hitam seperti terbakar dan panas. Tapi keadaan akan terkawal. Itulah janji doktor pada kami semua. Kami sekeluarga lega mendengarnya. Beberapa pain darah telah dimasukkan kedalam badan ayah. YA ALLAH... selamatkan ayah aku. Hari kedua ayah di hospital Universiti , ayah kelihatan agak bersemangat dan kami semua gembira kerana keesokkan harinya (hari ketiga) ayah akan dimasukkan ubat untuk menghalang Leukimia dari merebak. Dan aku pula macam biasa sementara untuk menghadapi SRP. Mentelaah di waktu malam ádala cara aku sambil mendengar radio. Tapi segala yang aku baca tidak boleh masuk dalam otak aku. Entah kenapa malam tu aku resah sentiasa ingat pada ayah. Sihatkah ayah?, apa ayah buat di wad malam-malam ni?, segala pertanyaan menyerang otak aku. Entah kenapa perasaan aku rasa semacam. Pukul 4.00 pagi telefon berdering Abang saudara aku di Subang Jaya menelefon rumah dan berkata pada Abang sulung aku yang ayah ingin semua anak-anaknya datang ke hospital. Ayah nak semua anak-anaknya ada disisi ayah. Abang membangunkan aku pada pukul 4.30 pagi dan aku bergegas bersiap sementara menunggu abang saudara aku menjemput. Tepat pukul 5.30 pagi Abang saudara aku sampai dan kami dengan segera pergi kehospital Universiti. Sesampainya kami disana kami terus menuju ke wad ayah. Disitu aku lihat emak ada, emak saudara ada, abang aku no. 2 ada dan semua anak-anak buahnya yang menjaganya ada. Aku hairan melihat mereka dan apabila sampainya aku dikatil ayah, kulihat ayah tersangat lemah dan ayah tidak boleh bercakap lagi. Gusi ayah mengeluarkan darah juga hidung ayah. Aku dan abang no. 1 berdiri di tepi katil dan aku senyum melihat ayah, ayah senyum hambar tapi penuh makna. Ayah hanya mampu memandang kami semua. Aku berdebar dan gusar. Kenapa ayah jadi macam nih? Otak jemala aku sempat berfikir adakah ayah akan pergi meninggalkan aku, seperti mana yang aku lihat drama-drama di TV yang hanya lakunan semata..tapi kali ini mungkin akan terjadi pada diri aku. Macammana aku nak hadapinya? Otak aku masih berfikir...tak mungkin ayah akan pergi...ubat leukimia kan dah ada...aku memerhatikan ayah sambil memegang lengan ayah... Ayah memandang anak-anaknya seorang demi seorang dan yang akhir sekali ayah pandang adalah aku dan dengan tiba-tiba nafas ayah sesak, makin sesak dan aku mula menangis setelah aku tahan air mata aku supaya tidak menangis di depan ayah. Ayah semakin sesak dan jururawat datang untuk memberi bantuan pernafasan aku nak tengok ayah lagi tapi disuruh ketepi dan tirai ditutup, yang aku dengar doktor kata pada emak saudara aku “kak ajar pak cik ini mengucap kak” bila aku dengar sahaja aku semakin menangis dan tidak hirau akan pesakit lain. Abang-abang aku hanya mampu tunduk dan menangis. Emak sudah tidak mampu mengeluarkan air mata kaku bisu tanpa sepatah perkataan pun. Emak saudara aku mengajar ayah mengucap dan....keadaan menjadi senyap seketika. Tirai dibuka aku menerpa pada katil ayah tetapi...YA ALLAH …ayah telah pergi meninggalkan kami untuk bertemu ILLAHI. Aku seakan tidak percaya yang ayah telah tiada, aku menangis dan tidak mahu melepaskan tiang katil ayah. Abang sulung menarik aku sekuatnya hinggá aku terduduk. Kulihat emak hanya diam dan air mata emak tetap tidak keluar. Emak kelihatan seperti orang hilang akal. Hanya membisu seribu bahasa. Bapa saudara aku menguruskan jenazah ayah untuk dibawa pulang kekampung kerumah Mak Long aku. Dalam keadaan yang sebegitu, tiba-tiba sekumpulan tentera datang ke wad ayah, mereka datang untuk tujuan menderma darah untuk ayah. Tapi ajal dan maut di tangan ALLAH, ayah telah pergi menemuiNYA. Ayah cuma sempat terapi tahap pertama. Doktor yang menjaga ayah mengucapkan takziah pada emak sekeluarga. Dalam kereta aku hanya diam, emak pula seperti tiada apa yang berlaku. Tapi aku tahu emak telah puas menangis hingga emak tidak mampu untuk mengeluarkan air mata lagi. Setiba aku dikampung, rumah Mak Long telah ramai dengan sanak saudara dekat danjauh serta jiran-jiran menziarah. Tidak lama kemudian jenazah ayah tiba...emak, aku dan 2 orang abang aku duduk disisi ayah. Aku seakan tidak tahu apa nak buat. Emak membaca Surah Yassin dan kedua dua abang aku sibuk menguruskan segala pengurusan jenazah ayah. Sanak-saudara, kawan-kawan dan jiran-jiran semua datang menziarahi ayah. Alhamdulillah ramai yang mengiringi ayah Selepas semua pengurusan jenazah semua ahli keluarga ayah dipanggil untuk penghormatan terakhir. Emak mendahului , kemudian abang yang sulung, abang nombor dua dan akhir sekali aku...aku tidak dapat menahan air mata aku...”Dik jangan nangis, air mata tu sapu bagi kering, cium ayah tu elok-elok”suara Mak Long aku. Aku semakin menangis...kenapa aku terpaksa menghadapi semua ini...kenapa ayah mati...siapa nak ajar aku lagi ...SRP aku macam mana.”Dik cepat dik, tak elok lama-lama sangat”suara Mak Long aku lagi. Aku menarik nafas dan menahan untuk tidak menangis ...aku mencium dahi ayah, sejuk aku rasa kemudian aku mencium kedua belah pipi ayah...ayah...tak terkeluar suara aku...pada siapa lagi aku untuk memanggil ayah...lama ku cium pipi kanan ayah...bila aku angkat kepala aku seakan mata ayah mengiringi aku...aku lihat di hujung mata ayah ada air mata keluar... aku tahu ayah menangis tapi roh ayah telah tiada...ayah...siapa yang akan membeli makanan untuk adik bila lapar tengah malam nanti ayah...ayah tahukah ayah adik masih memerlukan ayah...adik nak SRP ayah...Selepas semua selesai ayah dikebumikan ditanah perkuburan di kampung aku. Ayah disemadikan dengan tenang disana. Dan aku telah kehilangan orang yang paling aku sayang...dialah ayah ku. Lama aku dikampung tapi keadaan memaksa aku dan emak pulang kerumah kerana SRP menjelang tiba. Hari peperiksaan tiba, aku melakukannya dengan tenang setenang ayah bersemadi. Aku menghadapi peperiksaan dengan tenang tapi tanpa ayah disisi untuk memberi sokongan dan galakkan. Tiada lagi gurau senda ayah yang menghiburkan kami sekeluarga. Tiadala lagi makan luar sekeluarga di hujung minggu. Hanya yang ada adalah ingatan yang kuat pada ayah. Setelah habis mengahadapi SRP hari keputusan pun tiba. Sebelum aku mengambil keputusan aku bermimpi ayah...ayah hanya memakai kain pelikat dan berbaju pagoda putih dan berkaki ayam duduk menanti di atas batu di terowong stesen keretapi. Tapi hanya aku dan ayah sahaja yang ada di terowong stesen keretapi itu. Aku di dalam keretapi memandang pada ayah dan tersenyum. Ayah tersenyum pada aku tapi tiada sepatah pun kata yang keluar dari ayah. Hanya senyuman serta anggukan kepala yang ayah berikan sehinggalah ayah hilang dari pandangan aku. Muka dan pakaian ayah bersih sekali. Keesokkan harinnya aku mengmbil keputusan SRP. Pada mulanya aku takut tapi aku yakin aku lulus. Alhamdulillah aku lulus dengan aggregat A 21. Aku meneruskan ke tingkatan 4 Sains. Tapi naluri aku lebih ke aliran Sastera. Sebenarnya aku tidak yakin pada diri aku. Kalau ayah ada, mesti ayah akan membantu aku. Jadi aku nekad masuk ke aliran Sastera. Dan pada cikgu sejarah yang mengutuk aku tidak akan lulus, dia menangis di depan aku bila aku tunjukkan keputusan aku dengan mendapat kredit 3 untuk matapelajaran sejarah. Akhirnya cikgu sejarah bersalaman dan mengucapkan tahniah kepada aku. Aku hanya mampu tersenyum. Sebenarnya aku tidak gembira kerana ayah tiada disisi aku dan ayah tiada untuk mengucapkan tahniah dan tiada cenderamata untuk aku setiap kali aku cemerlang dalam akademi. Dan juga ayah tiada menanti aku dirumah untuk mengetahui keputusan peperiksaan aku. Aku rindu suara ayah, gelak ayah....aku rindu pada ayah...ayah merupakan inspirasi dan harapan aku untuk berjaya dan dapat menempuhi segala halangan dalam diri aku. Al- Fatihah akan kusedekahkan pada ayah setiap kali aku sembahyang dan bila saya terlintas dan teringat Ayah dimana jua saya berada. Hinggalah kini aku telah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak...ingatan aku pada ayah masih mendalam. Terima kasih ayah kerana segala keperluan dan galakan. Terima kasih pada ayah kerana mendidik kami adik beradik menjadi manusia yang berguna. Lebih-lebih lagi aku kerana aku amat manja dengan ayah. Terima kasih AYAH...dan untuk mu emak...emaklah ayah, emaklah kawan dan emaklah segalanya sejak pemergian ayah.Terima kasih EMAK. Akan kujaga emak selagi hayat masih ada. Al Fatihah. Bismillahhirrohmanirrohim. Ayah yang tersayang Amran Bin Hj. Maidin telah kembali kerahmatullah pada 10hb Mei 1984. Semoga rohnya berada didalam golongan orang-orang yang soleh. Amin.

1 comment:

rapheydhillo said...

dah jumpe.. ahak..